Followers

Monday 24 October 2011

Pratulisan


Pratulisan merupakan aktviti penting sebelum murid melangkah ke Tahun Satu.  Aktiviti ini dijalankan terutama di kelas prasekolah atau tadika. Ianya merupakan asas untuk untuk kemahiran tulisan mekanis. Menulis merupakan satu penghasilan simbol-simbol grafik yang disusun berdasarkan pertuturan yang membentuk perkataan, ayat dan lain-lain. Aktiviti pramenulis ialah tempoh masa murid-murid disediakan dengan aktiviti-aktiviti menulis sebelum dapat menulis huruf dengan kemas dan teratur. Latihannya menitikberatkan perkara-perkara berikut iaitu :-
  1. latihan–latihan pergerakan tangan
  2. latihan gerakan tangan yang bebas supaya dapat menulis dengan sempurna
  3. latihan pergerakan mata dan
  4. latihan koordinasi mata dan tangan.

Latihan-latihan Pergerakan Tangan

 Dalam latihan pergerakan tangan,aktiviti seperti menggenggam dan membuka tangan beberapa kali secara berulang-ulang, menggenggam dan menghancurkan atau meronyok sehelai daun atau kertas, mengenggam dan merasa beg yang berisi kekacang dan memegang benda-benda seperti pensel dengan cara guru menunjukkan cara memegang benda-benda dengan cara yang betul.  Latihan-latihan gerak jari dengan mempermain-mainkan jari, menekan-nekan jari, menggoyangkan tangan, meramas-ramas jari dan sebagainya., Aktiviti seperti memasang butang baju dan sebagainya serta latihan membuka dan mengikat semula tali kasut juga merupakan latihan pergerakan tangan . Latihan menggerakkan jari ini supaya murid-murid bersedia untuk menggunakan jari bagi memegang pensel disamping sebagai latihan penggunaan otot-otot tapak tangan dengan aktiviti membuat bentuk daripada plastisin, tanah liat atau tepung yang dibancuh dengan air.

Latihan Pergerakan Tangan Yang Bebas Untuk Menulis Dengan Sempurna

Aktiviti gerakan tangan secara bebas yang dilakukan oleh murid ini bertujuan supaya murid dapat menulis dengan selesa dan sempurna. Selain itu latihan membentuk garisan lurus, latihan membentuk corak-corak campuran bulatan dan garis lurus boleh dilakukan secara bebas. Latihan melukis gambar-gambar mengandungi garisan lurus dan bulat juga termasuk dalam aspek gerakan tangan secara bebas supaya akhirnya murid dapat menulis dengan lebih sempurna. Aktiviti bagi tangan juga boleh dilakukan melalui aktiviti melukis bentuk bebas menggunakan jari di udara, di meja, di lantai, di rumput tanpa menggunakan alat tulis seperti membentuk bulatan, menulis bentuk-bentuk di atas pasir atau tanah. Aktiviti merasa huruf sebenar dalam bentuk 3D, Huruf kertas pasir. Membuat rantai secara bebas turut membantu murid membentuk huruf akhirnya.

Latihan Pergerakan Mata

Latihan bagi mata seperti menutup kedua-dua mata murid dengan tangan, membuka mata dan menyebut benda-benda yang ditunjuk atau dipegang oleh guru. Aktiviti seperti menutup sebelah mata, melihat dan menyebut benda yang ditunjuk oleh guru dan dibawa dari kiri ke kanan dan sebaliknya. Aktiviti lain seperti menyebut benda-benda pelbagai saiz yang dipegang oleh guru. Seterusnya guru boleh menyuruh murid menyebut warna benda atau menyebut bentuk asas objek.

Latihan Kordinasi Mata dan Tangan

Aktiviti mengelas benda mengikut golongan atau kumpulan merupakan latihan bagi kordinasi mata dan tangan. Aktiviti –aktiviti lain yang boleh dilaksanakan seperti menyusun , mencantum dan mewarna gambar yang diselaras mengikut urutan. Aktiviti lain dalam aktiviti kordinasi mata dan tangan ialah mencantum titik atau sempang untuk membentuk huruf, memadankan gambar bagi benda-benda yang serupa, mencari sejumlah benda yang tersembunyi dalam sebuah lukisan dan juga aktiviti membuat garisan lurus dari atas ke bawah dan sebaliknya. Latihan mewarna dari kiri ke kanan dan sebaliknya juga dapat melatih murid bagi kordinasi mata dan tangan.

Setelah murid-murid menjalankan latihan pramenulis, faham dan tahu memegang pensel serta boleh duduk dengan cara betul, mereka boleh dilatih membentuk lambang-lambang tulisan. Bermula di kertas kosong tanpa garisan, diikuti latihan membentuk huruf pada garisan, di mana peringkat ini ialah peringkat menulis mekanis.


No comments:

Post a Comment